Saturday, January 9, 2010

Kumpulan Hak Asasi Manusia Mahu OIC Campur Tangan Di Selatan Thailand

Oleh D. Arul Rajoo
BANGKOK, 21 Sept (Bernama) — Gabungan kumpulan hak asasi manusia di Thailand meminta Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menggesa kerajaan Thailand membebaskan lebih 600 penduduk Islam yang ditahan berkaitan pergolakan di selatan.
Dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Agung OIC Prof Dr Ekmeleddin Ihsanoghe, Working Group on Justice for Peace (WGJP) berkata anggota keluarga tahanan berkenaan mahu mereka diberikan pilihan tanpa syarat untuk pulang ke rumah bagi menyambut Ramadan.
Pengerusinya, Angkhana Neelapaijit berkata OIC perlu meminta kerajaan Thailand memastikan hak asasi manusia dan hak kebebasan asas dihormati mengikut standard hak asasi manusia antarabangsa yang diperakui negara itu.
“Kami menulis surat hari ini untuk menyampaikan rasa bimbang kami terhadap langkah antikeganasan yang dilaksanakan oleh kerajaan Diraja Thailand di selatan Thailand berkaitan pencabulan prinsip dan standard hak asasi manusia antarabangsa,” katanya dalam surat bertarikh 26 Ogos.
Beliau ialah isteri kepada peguam hak asasi manusia Somchai Neelaphaijit yang telah hilang.
Ia juga menggesa supaya ditarik balik perintah berkurung di daerah Bannagstar dan Yaha di Yala yang menghalang penduduk kampung di kawasan itu menunaikan solat pada waktu malam di masjid. Pihak tentera telah menarik balik perintah berkurung sepanjang bulan Ramadan.
Menurut kumpulan itu, sejak Jun 2007, lebih 600 orang ditahan di tiga kawasan di selatan Thailand dengan operasi pertama diadakan pada 18 Jun di Bannangstar, Yala.
Setakat ini, lebih 20 operasi dijalankan di bawah operasi “Yuthakan Pitak Dantai” membabitkan 100 hingga 500 pegawai keselamatan yang menyerbu kampung-kampung pada awal pagi dan menahan mereka yang disyaki kumpulan pemberontak.
Pihak berkuasa menyatakan objektif operasi itu ialah untuk membanteras keganasan di Yala, Pattani, Narathiwat dan empat daerah di Songkhla di mana lebih 2,500 orang terbunuh sejak Januari 2004.
Angkhana berkata kebanyakan operasi itu dijalankan di kawasan yang dikategorikan zon merah, daerah yang dikenal pasti sebagai bermasalah yang sering berlaku keganasan, dikatakan dilakukan puak pemisah yang memperjuangkan kemerdekaan bagi wilayah majoriti Islam.
Katanya anggota keluarga dan peguam dilarang melawat tahanan bagi tiga hari pertama ditahan dan juga terdapat laporan bahawa soal siasat yang dijalankan tentera turut melibatkan penderaan.
“Sekurang-kurangnya dua kes kehilangan dilaporkan sulit sejak operasi besar-besaran itu. Seorang dilaporkan hilang sejak 28 Jun, dan seorang lagi hilang sejak 11 Julai, kedua-duanya dilaporkan hilang dari wilayah Yala,” katanya.
Selepas ditahan 37 hari di bawah Undang-Undang Darurat dan Tentera, tahanan dipaksa menghadiri program latihan pekerjaan selama empat bulan dengan tujuan memberikan peluang kepada mereka untuk membina hidup baru, menggalakkan keselamatan dan memutuskan sokongan terhadap pemberontak.
Dalam surat yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Surayud Chulanont, ia menyatakan tahanan patut didakwa sama ada mengikut kanun jenayah biasa atau dibebaskan, manakala pilihan diberikan kepada mereka sama ada menjalani latihan pekerjaan atau didakwa mengikut undang-undang berkaitan keselamatan negara.
Menurutnya kebanyakan tahanan bersetuju menjalani latihan atas pelbagai alasan, seperti takut dibunuh jika pulang ke rumah, sama ada oleh militan yang syak mereka menjadi ejen negara atau oleh negara yang mungkin peraya mereka terlibat dengan kegiatan militan.
“Sesetengahnya mahu pulang ke rumah dan keluarga kerana mereka merupakan orang yang bertanggungjawab menyara keluarga. Mereka takut jika mereka enggan memilih menjalani latihan, mereka akan didakwa melakukan kesalahan berkaitan keselamatan negara dan terbabit dalam proses perbicaraan yang lama,” menurutnya.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment