Wednesday, January 6, 2010

Budaya MELAYU Bersendikan ISLAM

Pandangan orang Melayu terhadap agama Islam sangat kental, sehingga muncul konsep bahwa Melayu identik dengan Islam. Bagi orang Melayu, konsep tersebut bukanlah sebatas slogan kerana hal tersebut benar-benar diterjemah dalam kehidupan sehari-hari. Bila ada orang Melayu yang murtad (keluar dari agama Islam), maka ia tidak lagi dikatakan sebagai orang Melayu. Sebaliknya, bila ada orang Cina yang hidup di tengah masyarakat Melayu masuk Islam, maka dia dikatakan masuk Melayu.

Oleh kerana Melayu identikal dengan Islam, maka Tuhan yang patut disembah adalah Allah. Proses ini pada akhirnya menjadi suatu kebiasaan yang melekat di dalam kebudayaan Melayu, sehingga menjadi suatu sistem yang tidak terpisahkan bagi orang Melayu, Islam, dan Allah. Maka terjadilah proses timbal balik antara Melayu dan Islam dengan segala dimensinya sebagai sebuah sistem yang saling mengisi.

Budaya Melayu memiliki nilai-nilai luhur yang sudah teruji kehandalannya, dan selama ratusan tahun yang silam dijadikan jatidiri masyarakatnya. Nilai-nilai inilah yang diyakini dapat mengangkat maruah, harkat, dan martabat kemelayuan dalam erti luas dan mampu menghadapi cabaran atau tentangan zaman. Di dalam adat resam Melayu, nilai-nilai dimaksud dipaterikan ke dalam ungkapan-ungkapan adat, yang disebut sebagai Sifat yang Dua puluh Lima atau Pakaian yang Dua puluh Lima. Orang tua-tua Melayu percaya, siapapun yang menjadikan sifat ini sebagai jatidirinya atau sebagai pakaian hidupnya, tentulah akan menjadi orang, yakni menjadi manusia yang sempurna lahiriah dan batiniah. Salah satu dari 25 sifat tersebut menjelaskan tentang pandangan orang Melayu terhadap Tuhan, yaitu: Sifat tahu semulajadi, tahu berpegang pada Yang Satu

Yakni sifat yang menyedari dirinya sebagai manusia (makhluk) yang diciptakan oleh Allah, dan menyadari dirinya sebagai hamba Allah. Kesadaran ini mendorong­nya untuk bertaqwa kepada Allah, mematuhi semua perintah Allah, menjauhi semua laranganNya, dan berusaha untuk menjadikan dirinya sebagai hamba Allah yang soleh agar mendapatkan kesejahteraan di dunia dan sejahtera pula di akhirat. Dengan kesedaran ini akan meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaannya, akan menjadikan dirinya sebagai manusia yang berguna bagi sesama makhluk Allah, dan bertanggungjawab terhadap keharmonian alam ciptaan Allah.

Budaya Melayu adalah budaya yang menyatu dengan ajaran agama Islam. Nilai keislaman menjadi acuan dasar budaya Melayu. Kerananya, budaya Melayu tidak dapat dipisahkan dari Islam, sebagaimana tercermin dari ungkapan adat: Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah; Syarak mengata adat memakai, sah kata syarak, benar kata adat; Bila bertikai adat dengan syarak, tegakkan syarak, dan sebagainya. Bagi orang Melayu, agama Islam adalah aturannya. Masuknya Islam ke wilayah kepulauan Melayu merupakan peristiwa penting dalam sejarah Melayu yang kemudian identik dengan Islam. Sebab, Islam merupakan unsur terpenting dalam peradaban Melayu. Islam dan bahasa Melayu telah berhasil menggerakkan ke arah terbentuknya kesedaran Nasional yang akhirnya menjadi pendorong kepada usaha menentang kolonial penjajah. Simbol-simbol yang berasal dari kebudayaan Melayu, yang berlaku di tempat-tempat umum serta yang digunakan untuk menghubungkan berbagai suku bangsa dan golongan etnik yang berbeza sehingga dapat saling berinteraksi adalah bahasa Melayu dan etika Melayu (antara lain keramahan dan kerterbukaan).

Maka, dapat disimpulkan bahawa orang Melayu menetapkan identiti kemelayuannya dengan tiga ciri pokok, iaitu berbahasa Melayu, beradat-istiadat Melayu, dan beragama Islam. Berdasarkan ciri-ciri asas tersebut, masyarakat Melayu Nusantara dipersatukan oleh adanya kerajaan-kerajaan Melayu pada masa lampau. Kebesaran kerajaan-kerajaan Melayu telah meninggalkan tradisi-tradisi dan simbol-simbol kebudayaan Melayu yang menyelimuti berbagai suasana kehidupan hampir sebahagian besar masyarakat wilayah kepulauan tersebut. Kerajaan-kerajaan besar Melayu bukan saja terpusat di Pulau Sumatera, namun penyebarannya mencapai sebahagian besar wilayah Nusantara. Hal ini dapat saja terjadi kerana adanya beberapa penguasa berserta pengikutnya dari kerajaan-kerajaan tersebut yang melarikan diri kerana berbagai faktor, dan kemudian mendirikan kerajaan Melayu baru di daerah lain.

Sumber:
Tenas Effendy, Tegak Menjaga Tuah, Duduk Memelihara Marwah, (BKPBM, Yogyakarta, 2005).

No comments:

Post a Comment