Saturday, January 9, 2010

Autonomi Mungkin Satu Pilihan Buat Selatan Thailand - Najib

Oleh D. Arul Rajoo

HUA HIN (Thailand), 26 Okt (Bernama) -- Tuntutan kemerdekaan oleh kumpulan pemisah di Selatan Thailand adalah tidak wajar, namun Thailand seharusnya menawarkan tahap tertentu autonomi kepada wilayah yang majoritinya didiami oleh kaum Muslim itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu temuramah berasingan dengan akhbar berbahasa Inggeris, Nation dan Bangkok Post pada Sidang Kemuncak ke-15 Asean di sini, Najib berkata tuntutan bagi mendapatkan kemerdekaan atau pemisahan tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau berkata sebarang tuntutan terhadap kerajaan Thailand perlu berada dalam ruang lingkup perlembagaan Thailand.

"Resolusi yang berkekalan adalah soal kepercayaan - "kepercayaan, dan pastinya memenangi hati serta perasaan penduduk di Selatan," kata beliau yang dijadualkan melawat wilayah yang bergolak itu pada bulan Disember ini bersama dengan rakan sejawatannya Abhisit Vejjajiva selepas Rundingan Tahunan mereka di Bangkok.

Najib berkata beberapa bentuk autonomi tertentu boleh menjadi penyelesaian bagi menamatkan keganasan, dan menurutnya kerajaan Thailand boleh menawarkan kebebasan tertentu bagi penduduk di kawasan itu yang dirasakan amat penting buat penduduk tempatan, umpamanya pemilihan pemimpin tempatan, pekerjaan, agama dan pendidikan.

"Ia adalah keputusan Thailand sendiri untuk menimbangkan sejauh mana autonomi di kawasan itu dapat diberikan, dan Malaysia sebagai negara jiran, tidak akan masuk campur dalam perkara itu. Anda mungkin tidak mahu menamakannya autonomi, tapi mungkin sekurang-kurangnya ada sedikit bentuk pembabitannya," katanya.

Lebih daripada 3,600 orang terbunuh sejak kumpulan bersenjata menyambung kembali kempen mereka pada Januari 2004 bagi mendapatkan kemerdekaan buat wilayah majoriti kaum Muslim di Pattani, Yala dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia.

Najib berkata dalam lawatannya yang dirancang pada bulan Disember ini, beliau akan memberitahu penduduk tempatan bahawa Kuala Lumpur tidak akan menyokong mana-mana kumpulan ekstremis yang bertindak mencabuli undang-undang Thailand.

"Begini, anda tahu yang anda perlu menjadi rakyat Thailand yang baik. Jangan harap Malaysia akan menyokong sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang Thailand. Tindakan anda tindakan bersendirian, dan jika mereka (yang melanggar undang-undang) menyeberangi sempadan ke Malaysia, kami akan hantar mereka kembali (ke Thailand)," katanya kepada Nation.

Najib berkata salah satu daripada isu utama yang turut memberi kesan dalam hubungan dua hala dan perlu diselesaikan segera ialah soal dua kerakyatan, di mana antara 20,000 dan 25,000 penduduk disekitar kawasan itu dipercayai memiliki kerakyatan Thailand dan juga Malaysia.

Perdana Menteri memberitahu Bangkok Post bahawa jalan penyelesaian terhadap keganasan dan ekstremism boleh dicapai sekiranya kerajaan Thailand dapat berurusan dengan "kumpulan yang tepat" dan memperakui bahawa ia boleh dan seharusnya menangani masalah yang sebenarnya, yang dialami penduduk tempatan.

"Jika anda berupaya mendapatkan kepercayaan mereka, dan mereka merasakan bahawa kerajaan sememangnya benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan dan masalah mereka, saya rasa anda akan dapat lihat yang keadaan semakin bertambah baik. Sebaik sahaja majoriti penduduk menyokong anda, anda pasti dapat menghapuskan kumpulan ekstremis," tambahnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment